Setiap kali tibanya tahun baru Hijrah, kita akan mendengar ungkapan ‘Selamat Menyambut Maal Hijrah’. Namun adakah hijrah itu hanya sekadar sambutan, atau ia mengandungi maksud yang lebih dalam bagi setiap jiwa?
Hijrah dalam Islam bukan semata-mata perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat lain. Ia adalah simbol kepada perubahan yang besar iaitu perubahan daripada kegelapan kepada cahaya, daripada lalai kepada taat dan daripada dosa kepada taubat nasuha.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Seorang Muhajir (berhijrah) itu adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t.” (Riwayat Bukhari)
Maknanya, hijrah yang sejati ialah perubahan dalaman serta memperbaiki niat, membersihkan hati dan memperkukuhkan hubungan dengan Allah s.w.t. Hijrah ini perlu kita lakukan setiap hari. Daripada malas kepada rajin, daripada cepat marah kepada sabar, daripada suka mengumpat kepada menjaga lidah.
Apa Langkah Praktikal Hijrah Jiwa?
- Audit Diri:
Semak hubungan kita dengan Allah s.w.t, adakah solat dijaga, zikir diamalkan, al-Quran dibaca?
- Tinggalkan Dosa:
Kenal pasti dosa yang biasa kita ulang dan mulakan dengan tinggalkan satu per satu.
- Cari Kawan Soleh:
Kawan yang baik akan tarik kita ke arah kebaikan. Jangan bertangguh.
- Perbanyak Istighfar & Doa:
Hati yang kerap bertaubat akan menjadi lembut dan tenang.
Doa Pilihan Minggu Ini:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik amalan kami adalah amalan penutup kami.”
Add comment