Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
IBLIS adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah daripada api. Iblis juga merupakan musuh manusia yang nyata.
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
[Surah al-Baqarah : 208]
Tipu daya iblis merupakan helah yang sangat dasyat lagi menyesatkan. Iblis telah bersumpah kepada Allah untuk menyesatkan umat manusia sehingga ke hari kiamat untuk bersama-samanya berada dalam neraka.
Iblis tidak akan putus dan berhenti untuk menggoda manusia dari segenap penjuru. Andai jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat iaitu kanan, kiri, depan ataupun belakang nescaya mana-mana jalan yang dilalui maka Iblis akan sentiasa menunggunya.
Hanya orang yang beriman dan beramal soleh dengan melakukan setiap pekerjaan ikhlas kerana Allah akan terselamat daripada godaan Iblis.
“Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (40)” Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dengan keikhlasan”.
[Surah al-Hijr : 39-40]
Di dalam Athar Salafussaleh, mereka menamakan tentera-tentera Iblis dalam kalangan syaitan kepada beberapa nama. Kesemuanya mempunyai 6 nama dan setiap di antara mereka mempunyai tugas-tugas tersendiri yang pasti matlamatnya adalah merosakkan kehidupan manusia sehingga menjadi peneman mereka di Neraka.
Untuk siri 1 kali ini, kita akan memperkenalkan satu dahulu di antara yang enam tersebut iaitu.

1. MISWATH
- Ianya ditugaskan untuk menyuruh manusia membawa cerita dusta dan juga berita-berita palsu. Ini banyak terjadi di zaman yang serba canggih yang mana mereka dengan mudahnya memviralkan sesuatu berita tanpa mencari kebenaran terlebih dahulu sehingga mengaibkan seseorang.
- Tugasnya lagi adalah untuk menampakkan perkara yang benar itu salah, dan yang salah itu nampak benar.
- Ianya akan berusaha untuk memecahbelahkan pertalian hubungan antara sesama manusia hasil daripada kesan-kesan cerita dusta dan berita palsu yang disebarkan.
- Kesan daripada hasil cerita dusta atau berita palsu ini sangatlah besar. Ianya bukanlah sahaja membawa memutuskan hubungan antara sesama manusia, malah ianya juga akan membawa kepada pergaduhan yang besar sehingga ke tahap bunuh membunuh antara satu sama lain.
Jadi dengan itu, ingatlah wahai tuan/puan semua. Sentiasalah berwaspada tentang perkara ini. Sebelum menyebarkan atau mempercayai sesuatu khabar, pastikan dahulu khabar tersebut, kerana mempercayai perkara yang batil terlebih mudah untuk mempercayai perkara yang hak. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran :
” Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
[Surah al-Hujurat : 6]
Sekiranya tiada apa-apa kebaikkan atau manfaat untuk kita lakukakan, maka kita diamkan sahaja. Itu lebih baik, dan itu akan menjaga agama kita.
Seperti kata Rasulullah s.a.w. :
” Sesiapa yang beriman kepada hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam “
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Mudah-mudahan kita terselamat daripada segala fitnah di dunia dan akhirat.