Muhammad bin Ishak telah menceritakan tentang sebab turunnya (Asbab Nuzul) Surah al-Kahfi ini dengan memetik riwayat dari Ikrimah yang meriwayatkan dari Ibn Abbas yang berkata :
“Orang-orang Quraish telah menghantar wakil-wakil mereka, termasuk an-Nadr bin Harith, ‘Uqbah bin Abi Mu’it, untuk bertemu orang alim Yahudi bagi mendapatkan maklumat tentang kenabian Rasulullah s.a.w, kerana mereka itu adalah Ahli Kitab. Kumpulan ini telah pergi ke Madinah dan bertanyakan hal Muhammad kepada alim Yahudi itu, dan alim Yahudi meminta mereka menanyakan 3 perkara kepada Nabi Muhammad dan berkata :
“ Jika Muhammad dapat menjawab ketiga-tiga perkara itu, maka beliau adalah seorang nabi ”.
Wakil-wakil Quraisy itu pun balik dan menanyakan 3 perkara kepada Rasulullah saw iaitu; tentang Penghuni Gua (Ashabul Kahfi), tentang Zulqarnain yang menguasai Timur dan Barat, dan akhir sekali tentang roh.
Rasulullah telah meminta untuk menangguh memberi jawapan kepada soalan-soalan tersebut pada keesokan harinya. Tetapi di dalam kata-katanya itu, baginda s.a.w terlupa untuk mengucapkan “ InsyaAllah ”. Masing-masing menunggu jawapan dari Rasulullah s.a.w, namun wahyu kepada Rasulullah s.a.w telah terputus sehingga masuknya hari yang ke 15. Ketika itu, orang-orang Islam sudah merasa cemas dan Rasulullah s.a.w sendiri terpaksa bermurung.
Pada hari ke 15 itulah, barulah Jibril datang menurunkan surah al-Kahfi, sekali gus menjawab ketiga-tiga persoalan untuk membuktikan kenabian Rasulullah s.a.w itu”.