Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Yang Memberikan ilmu kepada umat Manusia, kerana dengan ilmu itu Maka Manusia menjadi ciptaan Allah melebihi ciptaan Allah yang lainnya. Selawat dan salam kita tujukan kepada kekasih kita Nabi Muhammad S.A.W dan kerana beliau maka umat ini menjadi umat yang terbaik diantara sekalian banyak umat. Alhamdulillah.
Pada kali ni kami akan kongsikan salah satu ilmu akademik yang sangat berkait rapat dengan kehidupan seharian iaitu ilmu Sains. Jika diamati dalam mengenal ilmu sains ini, ianya sangat menakjubkan. Hal ini kerana penerokaan ilmu sains seharusnya menimbulkan rasa kagum dan takjub tentang kebesaran Allah.Pembangunan sains dan teknologi tanpa agama adalah buta tetapi tiada siapa pun yang dapat menafikan keperluan sains untuk membangun dan memakmurkan alam ini. Justeru, sains itu perlu dibicarakan dalam konteks agama untuk memandu apa jua perkembangan yang dibangunkan oleh manusia berteraskan sumber wahyu dan berinspirasikan keagungan Allah sebagai Pemilik dan Pencipta yang Maha Agung. Sudah pastilah al-Quran sebagai sumber rujukan utama.
Albert Einstein pernah menukilkan, “Science without religion is blind, religion without science is lame” .Integrasi antara agama dan sains seharusnya menjadi suatu perkara yang perlu diberi perhatian kerana pembangunan sains dan teknologi akan terus berkembang dan sudah pastilah akan mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam.
Berbalik kepada pengenalan ilmu Sains,hampir semua aktiviti dalam kehidupan kita adalah berkaitan dengan sains. Perkataan Sains asalnya daripada perkataan Latin “Scientia” yang bermaksud pengetahuan fenomena alam semula jadi. Sains ialah disiplin ilmu yang melibatkan pemerhatian dan eksperimen yang sistematik terhadap fenomena alam semula jadi.
Fenomena alam semula jadi ialah aktiviti harian semula jadi yang berlaku dalam alam dan bukan buatan manusia. Sebagai contoh,
- Kejadian siang dan malam
- Kejadian manusia
- Kejadian langit dan bumi

Sains membekalkan pengetahuan saintifik kepada manusia. Pengetahuan saintifik membantu kita memahami diri sendiri dan alam sekeliling, menyelesaikan masalah harian, menyumbang kepada penemuan dan penciptaan teknologi baharu serta membuka peluang kerjaya yang berasaskan sains.