Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Yang Memberikan ilmu kepada umat Manusia, kerana dengan ilmu itu Maka Manusia menjadi ciptaan Allah melebihi ciptaan Allah yang lainnya. Selawat dan salam kita tujukan kepada kekasih kita Nabi Muhammad S.A.W dan kerana beliau maka umat ini menjadi umat yang terbaik diantara sekalian banyak umat. Alhamdulillah.
Ramadan berasal daripada kalimah Bahasa Arab RO MIM DHAD yang bermaksud ketajaman atau kepedihan pada sesuatu kerana kesan kepanasan dan lainnya. Ramad bermakna “kepanasan batu kerana kepanasan cahaya matahari”. (Ibnu Faris- “Maqayis al-Lughah”)
Ramadan juga dari perkataan ramad iatu teruknya kesan panas matahari (Al Raghib- “Mu’jam Mufradat”)
Al Qhadhi Abu Yaala al Farraa’ menyebut tentang rahsia penamaan ramadhan:
“Dikatakan bahwa sebab dinamakan ramadhan kerana ianya membakar dosa-dosa dan menyahkannya”.
Ramadan merupakan bulan puasa yang Allah pilih kepada umat nabi Muhammad s.a.w. kerana ianya disebutkan di dalam hadis yang bermaksud:
“Setiap amal anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan memberi balasannya”.
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan 10 kali ganda seumpamanya sehingga ke 700 kali ganda, kecuali puasa kerana puasa adalah untuk-Ku dan Akulah yang mengganjarinya”.
(HR Imam Bukhari & Imam Muslim)
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan 10 kali ganda seumpamanya sehingga ke 700 kali ganda, kecuali puasa kerana puasa adalah untuk-Ku dan Akulah yang mengganjarinya”. (HR Imam Bukhari & Imam Muslim)
Seperti yang dapat kita lihat bahwa Allah memberikan ganjaran yang tinggi kepada hamba-Nya yang berpuasa khususnya berpuasa di bulan Ramadan. Akan tetapi puasa yang bagaimanakah yang maksudkan oleh Allah?
Puasa yang dimaksudkan oleh Allah iaitu puasa mereka yang meninggalkan segala perkara dosa dan maksiat serta melaksanakan segala perintah Allah dengan sebaiknya. Puasa ini bertujuan untuk menguatkan kerohanian hamba Allah bagi menempuh segala ujian ketika beribadah kepada Allah, jika kita lihat sejarah membuktikan bahwa Ramadan ini mampu menguatkan rohani seseorang itu:
- Memahami kesusahan dan kepayahan orang miskin dan yang tak berupaya sehingga diwajibkan melakukan zakat fitrah
- Al-Quran diturunkan di bulan Ramadan sebagai petunjuk dan kekuatan jiwa manusia
- Bulan Ramadan diperintahkan umat Islam untuk berperang di Badar sedangkan mereka berpuasa dan berlapar
- Digandakan setiap pahalanya sehingga 700 kali ganda berbanding bulan selainnya
- Bulan dimana dibebaskan ahli Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga serta dibelenggu segala syaitan agar ibadah orang islam tidak diganggu
- Segala doa orang yang beriman dibuka sehingga tiada hijab antara hamba tersebut dengan Allah
Daripada di atas dapat kita lihat betapa bulan Ramadan itu merupakan bulan yang terlalu istimewa bagi seorang hamba Allah, kerana dengan bulan ini kita mampu beroleh pahala yang sangat besar. Oleh itu bagi kita yang masih berada dalam bulan Ramadan ini hendaklah sentiasa bersemangat dalam beramal. Jika kita perhatikan setiap kelebihan dan ujian Ramadan semuanya hanyalah untuk mendidik rohani dan jiwa manusia, sekiranya manusia itu mempersiapkan raganya sahaja tetapi bukan pada jiwanya, nescaya manusia itu tidak mampu mencapai bulan Ramadan yang sempurna. dan mudah-mudahan Ramadan tahun ini merupakan yang terbaik berbanding Ramadan sebelum ini. InsyaAllah Amiin.