Segala puji bagi Allah, Pemilik sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta para pengikut Baginda.
Di era akhir zaman ini, pelbagai fahaman serta ideologi yang seringkali menular di kalangan manusia. Fahaman serta ideologi ini ada juga yang membawa manusia menyimpang dari landasan keimanan.
Sebagai orang Islam yang beriman, kita mesti merujuk al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan atau petunjuk yang paling utama untuk menepis segala fahaman atau ideologi yang tidak selari dengan Islam. Sebagaimana firman Allah SWT ;
نَزَّلَ عَلَيْكَ ٱلْكِتَٰبَ بِٱلْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ (3) مِنْ قَبْلُ هُدًى لِلنَّاسِ وَأَنْزَلَ الْفُرْقَانَ ۗ إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ ذُو انْتِقَامٍ (4)
Maksudnya :
(3) “Dia menurunkan Al-kitab (Al-Qur’an) kepadamu dengan sebenarnya, membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil.”
(4) “Sebelum (Al-Qur’an) menjadi petunjuk bagi manusia, dan Dia menurunkan Al-Furqaan. Sesungguhnya orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah akan memperoleh seksa yang berat; dan Allah Maha Perkasa lagi mempunyai Balasan (seksa)”
(QS. Ali Imran [3]: 3 – 4)
SEBAB AL-QURAN DAN AL-HADIS SEBAGAI SUMBER RUJUKAN
- Al-Quran dan hadis mempunyai kebenaran yang mutlak. Isi kandungan al-quran tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pakar bahasa dan sastera.
- Datangnya daripada Allah SWT sendiri
- Ajaran al-Quran dan hadis sesuai diamalkan pada semua tempat waktu dan zaman
- Isi kandungan al-Quran dan hadis merangkumi semua aspek kehidupan manusia
Allah SWT berfirman lagi dalam Surah al-Jaatsiyah, ayat 20 yang bermaksud: “Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini.”
Setiap yang beriman serta bertaqwa semestinya akan memelihara diri daripada kemurkaan Allah dengan menurut perintahNya serta meninggalkan laranganNya. Juga akan membersihkan pemikiran daripada anasir kefahaman serta ideologi yang bertentang atau menyimpang daripada fikrah Islam yang tulen supaya imannya tetap teguh.
Maka, untuk memelihara keteguhan taqwa kepada Allah SWT, mereka yang mengakui beriman dan bertaqwa wajib menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan utama dalam landasan kehidupan supaya tidak mudah terikut dengan fahaman yang menyimpan daripada Islam. Wallahua’lam.
Leave a reply