
Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah s.w.t. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah s.w.t memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t :
إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya : “ Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s,a,w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
Untuk penulisan kali ini, kita akan memberikan sedikit pencerahan tentang mengapakah nama Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya disebut di dalam selawat ?
Dinyatakan di dalam Kitab Syarah Mukhtasar Abi Jamrah :
وَإِنَّمَا خَصَّ إبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ بِذِكْرِهِ وَآلِهِ فِي الصَّلَاةِ لِوَجْهَيْنِ
أَحَدُهُمَا أَنَّ نَبِيَّنَا عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ رَأَى لَيْلَةَ الْمِعْرَاجِ جَمِيعَ الْأَنْبِيَاءِ وَسَلَّمَ عَلَى كُلِّ نَبِيٍّ وَلَمْ يُسَلِّمْ أَحَدٌ مِنْهُمْ عَلَى أُمَّتِهِ غَيْرَ إبْرَاهِيمَ فَأَمَرَنَا نَبِيُّنَا أَنْ نُصَلِّيَ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ آخِرَ كُلِّ صَلَاةٍ إلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ مُجَازَاةً لَهُ عَلَى إحْسَانِهِ
الثَّانِي : أَنَّ إبْرَاهِيمَ لَمَّا فَرَغَ مِنْ بِنَاءِ الْبَيْتِ جَلَسَ مَعَ أَهْلِهِ فَبَكَى وَدَعَا فَقَالَ اللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ مِنْ شُيُوخِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلَامَ فَقَالَ أَهْلُ بَيْتِهِ : آمِينَ ، قَالَ إِسْحَاقُ : اللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ مِنْ كُهُولِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلَامَ فَقَالُوا : آمِينَ ثُمَّ قَالَ إسْمَاعِيلُ : اللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ مِنْ شَبَابِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلَامَ فَقَالُوا : آمِينَ فَقَالَتْ سَارَةُ : اللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ مِنْ نِسَاءِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلَامَ فَقَالُوا : آمِينَ فَقَالَتْ هَاجَرُ اللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ : مِنْ الْمَوَالِي مِنْ النِّسَاءِ وَالرِّجَالِ مِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلَامَ فَقَالُوا : آمِينَ ، فَلَمَّا سَبَقَ مِنْهُمْ ذَلِكَ أُمِرْنَا بِالصَّلَاةِ عَلَيْهِمْ مُجَازَاةً لَهُمْ انْتَهَتْ .
Ertinya : “ hanyasanya dikhususkan sebutan nama Nabi Ibrahim dan keluarganya di dalam selawat ialah kerana 2 wajah :
Pertama : Sungguhnya Rasulullah s.a.w telah melihat pada malam israk mikraj sekalian para Nabi, Maka Rasulullah s.a.w telah mengucapkan salam ke atas semua para Nabi & hanya Nabi Ibrahim yang mengucapkan salam ke atas umat Nabi Muhammad s.a.w. Maka atas sebab itu Rasulullah saw menyuruh kita berselawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya dalam sembahyang sampai hari kiamat.
Kedua : Adalah Nabi ibrahim & Nabi Ishaq & Nabi Ismail & Siti Sarah & Siti Hajar, semuanya mengirim salam ke atas umat Nabi Muhammad saw yang datang menunaikan haji di Baitillah. Maka dibalas salam mereka itu dengan diabadikan nama Nabi Ibrahim & keluarganya dlm selawat tersebut.
Jadi kepada para pembaca sekalian, ini adalah merupakan bentuk penghormatan daripada Allah s.w.t kepada hambanya yakni Nabi Ibrahim dan seluruh keluarganya sehinggakan diabadikan nama baginda di dalam selawat untuk didoakan oleh seluruh umat Nabi Muhammad s.a.w..
Selawat ini dipanggil sebagai selawat Ibrahimiyyah. Justeru, lazimilah selawat ini kerana ianya adalah selawat yang terbaik (ibu selawat) daripada segala jenis selawat.