Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Al-Quran merupakan satu mukjizat yang agung. Banyak lagi rahsia-rahsia yang berkaitan al-Quran yang tidak dapat lagi diteroka oleh manusia. Di samping dengan darjat al-Quran yang begitu tinggi itu, al-Quran juga merupakan satu kitab dalam membicarakan tentang peringatan untuk manusia, baik peringatan yang baik ataupun buruk. Seterusnya apa yang terkandung di dalam al-Quran juga itu sedikit sebanyak mendorong manusia untuk berfikir dengan kritis dalam menilai kadar sebuah kehidupan di dunia ini yang akhirnya dengan perkara tersebut akan memberikan hikmah dalam kehidupan manusia secara umumnya.
Antara salah satu perkara yang Allah nyatakan di dalam al-Quran yang mendorong manusia untuk berfikir ialah Allah melakukan tasybih (persamaan) antara dunia dengan air. Mengapakah terjadi sedemikian ? Persoalan tersebut telah dijawab oleh ulama terdahulu. Berikut adalah penjelasannya :
Imam al-Qurtubi pernah mengulas ketika ditanyakan: “ Mengapa Allah s.w.t menyerupakan dunia dengan air pada firman-Nya :
{وَاضْرِبْ لَهُمْ مَثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنْزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ}
“Dan buatkanlah untuk mereka (manusia) perumpamaan kehidupan dunia ini, ibarat air (hujan) yang Kami turunkan dari langit.”
[Surah Al Kahfi: 45]
Menurut ahli bijak pandai: ‘ Allah menyerupakan dunia dengan air kerana :’
- Air tidak tetap dalam satu keadaan, demikian pula dunia tidaklah tetap pada satu keadaan. Bermaksud kehidupan di dunia ini akan mempunyai banyak karenahnya.
- Air akan hilang dan tidak tetap, demikian pula dunia itu fana tidak kekal.
- Seseorang yang masuk ke dalam air tersebut, tidak dapat tidak pasti akan basah, demikian pula dunia tidak ada seorangpun yang selamat dari fitnah dan kejelekannya.
- Air apabila sesuai dengan kadarnya, akan memberikan manfaat dan menumbuhkan tanaman. Namun ketika melebihi kadarnya akan membahayakan dan mencelakakan. Demikian juga dunia, ketika cukup darinya maka bermanfaat. Namun ketika berlebihan, maka ia membahayakan.”
Kitab al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an
Demikianlah kata Allah s.w.t melalui karya-Nya yang agung. Mudah-mudahan dengan pengajaran hikmah ini dapat memberikan kebaikkan kepada orang yang mentadabburkan al-Quran.