

Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari Kesudahan.
Selama ni kita asyik dengar orang kata ” kena banyak berselawat “, ” selawat jangan tinggal “, ” Allah suka orang yang berselawat ” , dan macam-macam lagi.
Tetapi, tahu tak apakah yang dimaksudkan dengan selawat itu. Hakikat selawat itu telah dijelaskan oleh ulama terdahulu.
MAKSUD DARIPADA BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMĀD صلى الله عليه وسلم
al-Imam al-Sakhawi rahimahullah telah menukilkan dalam kitab beliau iaitu al-Qaul al-Badi’ fi al-Ṣalah ‘alal Ḥabib al-Syafi’ صلى الله عليه وسلم :
Adapun tujuan daripada berselawat itu, telah berkata al-Halimi ;
‘’ Maksud daripada berselawat itu adalah bagi mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan perintah-Nya dan menunaikan hak hak Nabi Muḥammad صلى الله عليه وسلم yang wajib ke atas kita.’’
Dan diikuti pula oleh Ibn ‘Abd Al-Salam;
“ Bukanlah selawat kita ke atas Nabi Muḥammad صلى الله عليه وسلم itu menjadi pertolongan daripada kita buat Baginda, kerana seperti diri kita ini tidak layak untuk memberikan pertolongan kepada insan yang seumpama Baginda صلى الله عليه وسلم.
Tetapi Allah s.w.t telah memerintahkan agar kita membalas jasa orang yang melakukan kebaikan kepada kita dan andai kita tidak mampu membalas jasa tersebut, maka kita (dikehendaki) membalasnya dengan doa.
Dan Allah s.w.t telah mengetahui ketidakmampuan kita dalam membalas jasa kebaikan Baginda صلى الله عليه وسلم, maka dengan itu Dia(Allah) telah menunjukkan jalan untuk kita membalas jasa Baginda iaitu dengan berselawat ke atas Baginda.
Maka dengan itu, selawat kita ke atas baginda menjadi balasan kita buat segala kebaikan dan kemulian Baginda ke atas kita, kerana tidak ada kebaikan yang lebih afdal daripada kebaikan Baginda صلى الله عليه وسلم.’’
Berkata Abu Muḥammad al-Marjani ;
‘ ’Manfaat selawat kamu ke atas Baginda pada hakikatnya kembali kepada kamu, dan kamu pada hakikatnya berdoa untuk dirimu sendiri.’’
Berkata ibn al-‘Arabi;
‘’ Faedah berselawat ke atas Baginda kembali kepada orang yang berselawat itu kerana ianya menjadi bukti kebersihan akidah, keikhlasan niat, bukti kecintaan, berkekalan di atas ketaatan, dan penghormatan terhadap wasilah yang mulia.’’
Berkata selain daripadanya ;
‘’Di antara cabang keimanan yang terpenting adalah berselawat ke atas Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم – sebagai tanda cinta kepada Baginda dan menunaikan hak Baginda dan memuliakan dan membesarkan Baginda.
Perbuatan selawat yang berterusan adalah termasuk daripada menunaikan sifat syukur, dan syukur kepada Baginda adalah wajib kerana besarnya nikmat nikmat yang berpunca daripada Baginda صلى الله عليه وسلم – kerana Baginda صلى الله عليه وسلم adalah sebab selamatnya kita daripada neraka dan menjadi sebab kepada masuknya kita ke dalam syurga dan (dengan sebab Baginda) kita meraih kejayaan dengan cara yang mudah dan (dengan sebab Baginda) kita meraih kebahagian daripada segala pintu dan (dengan sebab Baginda) kita sampai ke peringkat yang bercahaya dan akhlak yang tinggi tanpa penghalang.
Firman Allah s.w.t :
لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
[Surah ali-‘Imran: 164]’
