Perkataan Islam berasal daripada kata kerja ” Salima ” yang mempunyai maksud bebas daripada kecacatan zahir dan batin. Islam juga secara literal bermaksud damai atau sejahtera, taat dan menyerah. Perkataan Islam juga membawa maksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.; Tuhan yang Maha Kuasa, Maha Perkasa dan Maha Esa. Sebabnya, agama Islam sahaja merupakan agama yang benar dan diredhai oleh Allah s.w.t. berbanding dengan mana-mana agama lain. Hal ini disebut di dalam firman Allah s.w.t.:
Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya.
(Surah ali – ‘Imran: 19)
Kata Hamka : Agama Islam di sisi Allah ialah penyerahan diri yang sungguh-sungguh kepada Allah dalam semua urusan hingga dikatakan, walaupun seseorang mengaku memeluk agama Islam, kalau ia tidak berserah secara bersungguh-sungguh kepada Allah s.w.t. dengan ertikata yang sebenarnya, belumlah dia Muslim sebenar sebab dia belum menyerah.
Jadi, seorang Muslim ialah orang Islam yang tunduk dan menyerah diri kepada Tuhan secara menyeluruh dan bersungguh-sungguh tanpa berdolak-dalih lagi. Insan itu menunaikan segala semua perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya, barulah ia dikatakan Muslim sejati.
Menurut Imam al-Maududi pula : agama Islam dinamakan al-Islam kerana taat setia dan kepatuhan tidak berbelah bahagi dan ketundukan kepada suruhan Allah serta menjauhi laranganNya yang bukan dituruti secara paksa-paksa, menunjuk-nunjuk atau dibuat-buat. Perlakuan ketaatan dan kepatuhan kepada al-Amr (suruhan) dan al-Nahy (larangan) bukanlah dibuat-buat tetapi berdasarkan kerelaan, keikhlasan dan penyerahan diri untuk mencapai mardat Allah (keredaan Allah s.w.t.) yang diyakini sepenuhnya.
Tambahan Komentar daripada Abdul Karim Zaidan pula : telah memberikan tujuh definisi Islam mengikut perspektif dan situasi yang harus digunapakai oleh para pendakwah. Memadailah diutarakan di sini hanya satu definisi yang diakui oleh beliau sebagai definisi yang mencakupi kesemua definisi daripada segi isi dan pengertiannya. Berikut adalah bersarkan hadis tersebut :
Di dalam sebuah Hadis yang masyhur, Malaikat Jibril bertanyakan Nabi Muhammad s.a.w. tentang pengertian Islam: “Umar al Khattab menceritakan, ketika kami sedang duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w., muncul seorang lelaki gagah berpakaian putih berambut hitam. Pada dirinya tiada kesan-kesan orang bermusafir dan tiada seorang pun dari kalangan kami yang maengenalinya. Lelaki itu menyandarkan lututnya kepada lutut Rasulullah s.a.w., kemudian lelaki itu berkata “Ceritakan kepadaku tentang Islam.” Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Bahawa kamu naik saksi tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad Rasulullah, kamu dirikan sembahyang dan keluarkan zakat, berpuasa Ramadan dan kamu menunaikan haji sekiranya mampu,” Lalu lelaki itu berkata “Benarlah sabdamu.”
(Riwayat Imam an-Nasai’e)
Allah s.w.t. mengumpamakan Islam ibarat tali yang kukuh yang menjadi pegangan orang Islam. Jika seseorang itu terlepas daripada pegangannya, maka ia ia akan terjatuh ke lembah kehinaan. Implikasi daripada pegangan ini, kepada Allah jua segala urusan diserahkan. Firman Allah s.w.t.:
Dan barangsiapa berserah diri kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang kukuh. Hanya kepada Allah kesudahan segala urusan.
(Surah Luqman : 22)
Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan pengertian Islam yang begitu luas. Begitu juga dengan takrif dan definisi yang dikemukakan oleh para ulama. Kesemua takrif ini dapat diterima asalkan ianya merangkumi keseluruhan maksud ajaran yang terkandung di dalam Islam dan sesungguhnya kesemua takrif itu tidaklah bercanggahan bahkan seiringan di antara satu sama lain. Adanya kepelbagaian ini menunjukkan kepada kita betapa shumulnya Islam sehingga tidak ada perkataan yang dapat kita terjemahkan bagi memberi makna yang seerti dengan hakikat Islam itu sendiri.