Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan
Manusia amat memerlukan ilmu pengetahuan bagi meneruskan kelangsungan hidup seperti mana yang diharapkan. Menurut perspektif ilmuan barat, ilmu merupakan pengetahuan yang diperolehi daripada pengalaman, perolehan maklumat secara dapatan empiric dan bagaimana manusia memikirkan tentang sesuatu melalui kaedah tertentu. Dengan pengetahuan ini manusia dapat meneroka dan mengekploitasi alam ini.
Namun, menurut perspektif ilmuan Islam pula, ilmu adalah kalimah Allah yang pengertianny amat luas, hanya Allah sahaja yang mengetahui iaitu Al-Quran (Prof. Dr. Othman, 2014).
Al-Quran telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad saw melalui perantaraan Jibrail a.s untuk dijadikan panduan bagi umat manusia. Al-Quran juga diturunkan untuk mendidik manusia khususnya masyarakat Islam dalam menjalani kehidupan di dunia dengan sebaik mungkin kerana mereka yakin adanya hari pembalasan kelak. Al-Quran
juga mengajak manusia supaya sentiasa memerhati serta merenungi tanda-tanda kekuasaan Allah yang ada di langit dan di bumi. Alam ini merupakan bahan untuk berfikir, sebagai lembaran buku pengetahuan di samping menjadi bukti bagi kesatuan pentadbiran dan peraturan.
Secara umumnya, proses penyampaian ilmu terhadap manusia berlaku sejak azali
lagi apabila Allah SWT menciptakan Nabi Adam as seperti firman-Nya (alBaqarah 2: 31) yang bermaksud;
“Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat
lalu ia berfirman “Terangkanlah kepadaKu nama benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.””


Dalam mana-mana tamadun pun belum pernah kita temui dengan orang-orang yang menafikan kepentingan ilmu dalam kehidupan. Nabi Adam diajar oleh Allah dengan nama-nama (ilmu) menyebabkan Malaikat terpesona dengan kebolehan Adam, justeru itu mereka mengaku memang Adamlah yang layak menjadi khalifah di muka bumi ini. Bermula dari zaman Nabi Adam hingga kini manusia berlumba-lumba mencari ilmu. Ada hadis menyebut,
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam
Maksudnya : “ Sesiapa yang inginkan kebahagiaan di dunia hendaklah berilmu, siapa yang ingin kebahagiaan di akhirat maka hendaklah berilmu dan siapa yang hendak kedua-duanya sekali hendaklah juga dengan ilmu. ”
Baginda juga menyarankan agar manusia mencari ilmu kerana manusia dilahirkan tanpa ilmu.
Firman Allah dalam surah An Nahl; Ayat 78 Ertinya : “ Sesungguhnya Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu (bayi) dalam keadaan tidak mengetahui apa pun, kemudian Dia melengkapkan kamu alat pendengaran, penglihatan dan hati semoga kamu bersyukur. “
Manusia dilahirkan tanpa ilmu dan amat sedikit ilmu yang dimiliki. Oleh kerana itutanyalah kepada orang yang tahu (guru) mengenai sesuatu perkara sekiranya ia tidak mengetahui atau ragui, agar jawapan yang betul dan tepat diperolehi.
Anak lelaki dan perempuan hendaklah dididik sejak kecil lagi agar mereka membiasakan diri dengan menyintai ilmu dan menjadi ilmuan (alim) dan untuk menjadi alim(bijak) mestilah sanggup menanggung risiko samada masa, hartabenda dan hijrah meninggalkan kampong halaman, dan ini telah ditegaskan oleh rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam dalam sebuah Hadis.
Maksudnya; “Tuntutlah ilmu walau ke Negeri China”.
Maksud negeri China itu ialah antara negeri Arab dengan negeri tersebut dan pelajar hendaklah berani meninggalkan kediaman dan sanggup menghadapi rintangan sebelum sampai ke destinasi. Kalaulah ke Negeri China yang jauh pun dicadangkan oleh Baginda, apatah lagi di barat dan kawasan yang berdekatan, tentulah disyorkan.
Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam bukan sahaja meminta kita menuntut ilmu fardu ain malah fardu kifayah juga diberi penekanan misalnya ilmu bersukan, berperang dan bahasa asing. Supaya dapat mengelakkan diri dari tipu daya dan dapat mengenali budaya bangsa lain. Mengikut sejarah bahawa pada permulaan kerajaan Islam di Madinah, Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam menyuruh Zaid bin Thabit mempelajari bahasa yahudi dan Rasulullah sendiri menhantar satu pasukan yang terdiri daripada sahabat ke satu tempat yang terkenal dengan industry senjata supaya mereka mempelajarinya.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam :
Maksudya: “Barang siapa mempelajari bahasa sesuatu kaum, (bangsa) terselamatlah dari tipu daya mereka. ”
Dalam bidang sukan dan perang, Baginda Sallallahu ‘alaih wa sallam menyarankan agar anak-anak diajar renang dan melontar lembing.
Ilmu yang diperolehi itu kurang berkesan kecuali dibudayakan dalam kehidupan seharian. Ilmu yang dituntut, disebar, diamal, dihayati, difahami, diguna untuk kebaikan dan mengenal Allah.