Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan
Kita sebagai manusia pasti tidak lepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Namun, kasih sayang Allah sw.t amat luas sehingga dijadikan bagi kita, makhluk ciptaanNya, berbagai jalan yang menjadi sebab untuk menebus atau mengkaffarah sebahagian dosa kesalahan tersebut, terutama dosa – dosa kecil atau as-saghaair yang sering dilupa atau dipandang rendah. Ingat dosa kecil yang dibawa mati tanpa mendapat keampunan Allah s.w.t boleh menjadi sebab untuk mendapat azab, samada di kubur atau di neraka. Ulama telah menyebut amalan – amalan sebegini sebagai al-mukaffirāt.
Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam kitabnya Nihayatuz Zain menyebut tujuh belas (17) amalan yang menjadi kaffarah atau penebus dosa – dosa yang terdahulu (lampau) dan terkemudian (akan datang).
(Faedah) tujuh belas (17) amalan yang menjadi kaffarah bagi dosa – dosa yang terdahulu dan kemudian adalah : –
(1) Haji mabrur
(2) Berwudhu dengan sempurna
(3) Berqiam pada Lailatul Qadar
(4) Berqiam pada malam – malam bulan Ramadhan
(5) Berpuasa Ramadhan
(6) Berpuasa pada hari `Arafah
(7) Beserta dengan imam mengucap aamiin (yakni dalam salat, ucapan aamiin selepas Fatihah yang dibaca oleh imam hendaklah dibaca serentak oleh makmum dan imam, jangan terdahulu daripada imam dan jangan pula terkemudian)
(8) Membaca 3 ayat terakhir surah al-Hasyr
(9) Memimpin orang buta 40 langkah
(10) Membaca: “Asyhadu an la ilaha illa Allahu wahdahu la syarikalah, wa anna Muhammadan `abduhu wa rasuluh, radhitu billahi rabba, wa bil Islami diina, wa bi Muhammadin sallahu `alaihi wa sallam nabiyyan wa rasuula,” ketika mendengar azan (yakni ketika muadzin selesai membaca dua kalimah syahadah azannya atau selepas sempurna azan tersebut sebagai tambahan kepada doa azan yang masyhur).
(11) Berusaha menunaikan hajat orang Islam
(12) Solat dhuha;
(13) Ketika memakai pakaian membaca: ” alhamdullilahil lazi kasaani haza wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwah”.
(14) Selepas makan hendaklah membaca: ” alhamdulillahil lazi at`amani hazat to`am, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwah”.
(15) Tiba dari Baitul Maqdis untuk menyempurnakan haji atau umrah (yakni memulai ihram haji atau umrah dari Baitul Maqdis).
(16) Membaca surah – surah al-Fatihah, Qulhuwaallahu ahad dan al-mu`awwidzatain, setiap satunya tujuh (7) kali selepas solat Jumaat.
(17) Berjabat tangan dengan orang Islam yang tidak fasik sambil bersalawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Maka inilah antara amalan – amalan yang selain berpahala, juga menjadi mukaffiraat penebus dosa kesalahan kita. Mudahan – mudahan dapat menjadi amalan kita, di samping itu hendaklah kita sentiasa bertaubat dari segala dosa terutama sekali dosa – dosa besar, lalu matilah kita dalam keadaan suci bersih hendaknya. Wallahu A’lam