Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.
Alhamdulillah perbincangan kita mengenai jenis-jenis syaitan ini telah memasuki siri yang ke-5. Mudah-mudahan dengan pencerahan yang kami sajikan sebelum ini kepada tuan-puan semua, dapat memberikan kebaikkan dari sudut penambahan ilmu dan iman. Bagi tuan-puan yang terlepas untuk membaca siri yang lepas, boleh klik di link ini :
https://darulmuqarrabin.com/blog/
Tuan-puan boleh semak senarai blog dari siri-siri yang lepas.
Untuk siri yang ke-5 kali ini, kita akan membincangkan satu jenis syaitan yang lain. Ianya diberi nama sebagai :

5. DASIM
Sedangkan lidah lagi tergigit. Pergaduhan ataupun salah faham di dalam hubungan perkahwinan itu merupakan satu perkara yang biasa terjadi kepada semua orang yang pernah berkahwin. Tapi, jangan lah kita merasa terlampau selesa mengenai perkara tersebut, Sebenarnya boleh jadi salah faham atau pergaduhan tersebut berpunca daripada sesuatu. “Sesuatu” yang dimaksudkan ialah syaitan Dasim.
Menjadi tugasnya untuk menghasut serta menyemarakkan api kemarahan dan kebencian dalam diri suami isteri agar rumah tangga mereka berpecah belah.
Lebih menakutkan Dasim gemar menghasut wanita yang dalam keadaan haid, sedang mengandung atau ketika berpantang yang mana keadaan emosi mereka mudah terganggu.
Dari Jabir r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda : ” Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian mengutus bala tenteranya. Maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah satu dari bala tenteranya dan berkata. “Aku telah melakukan begini dan begitu”. Iblis bekata, “Engkau sama sekali tidak melakukan apa-apa”.
“Kemudian datang yang lain dan berkata ; “Aku tidak meninggalkannya hingga aku berhasil memisahkan dia dan isterinya.” Maka iblis mendekati dan berkata; ” Sungguh hebat (syaitan) seperti engkau.”
[HR Muslim].
Perlu diketahui oleh semua pasangan suami isteri bahawa betapa bijaknya Dasim ini dalam berusaha menggunakan pelbagai cara untuk menganggu keharmonian sesebuah rumah tangga.
Malah iblis itu sentiasa berusaha membuat kacau, menghasut hati, membisikan sesuatu keburukan untuk melihat perceraian dalam rumah tangga.
Dasim juga gemar mengikut apa sahaja aktiviti dilakukan pasangan dalam rumah mereka termasukla dia akan ikut serta makan makanan dihidangkan sekiranya mereka tidak membaca doa.
Tugas si Dasim ini juga adalah dengan memujuk seorang isteri agar tidak taat kepada suami dan mempengaruhi seorang isteri agar pergi meninggalkan rumah dengan berbagai alasan untuk membenarkan perbuatan si isteri itu meskipun sudah jelas bahawa perbuatan tersebut dilarang oleh agama. Alasan sakit hati kerana perbuatan atau perkataan suami, yang kadang dijadikan alasan kuat bagi si isteri untuk membenarkan tindakannya meninggalkan rumah dan suami, bersikap kurang ajar dengan suami, selalu menolak permintaan suami dan seringkali mengaibkan maruah suami kepada orang lain.
Meskipun tidak semuanya demikian, tapi tingkah laku seorang isteri yang keluar meninggalkan rumah tanpa izin suami dengan alasan kepergiannya itu bukan melakukan maksiat, si isteri tetap saja termasuk wanita yang nusyuz. Apabila ditegur, dia akan berkeras mempertahankannya. Pada fikirannya biarlah, itu antara dosanya dengan Tuhan. Begitulah terkadang perkara tersebut terjadi.
Bagaimanapun pasangan suami isteri boleh berwaspada dengan kehadiran Dasim dalam memastikan keharmonian rumah tangga terjamin.
Berikut adalah beberapa petanda perkahwinan anda diganggu iblis Dasim
1. Suasana rumah tangga tidak harmoni dan penuh dengan emosi negatif seperti suami isteri mudah marah tanpa sebab.
2. Suami atau isteri sering berfikiran negatif terhadap pasangan selain berasa was-was, ketakutan serta curiga apabila pasangan di luar rumah.
3. Berlaku maksiat di dalam rumah seperti gemar menonton pornografi tanpa rasa segan atau pun liat melakukan ibadat serta pasangan bersikap malas sehingga keadaan rumah tangga terbiar.
4. Solat tidak khusyuk juga boleh menjadi petanda gangguan Dasim seperti terlupa rakaat solat dan perkara itu berlaku berulang-ulang.
Amalan yang boleh kita lakukan bagi mengelak daripada termakan hasutan dan gangguan Dasim.
1. Apabila timbul salah faham dengan pasangan jangan dipanjangkan dengan bermasam muka sebaliknya belajar untuk segera memohon maaf.
2. Setiap kali menikmati makanan cuba amalkan membaca doa, terapkan dalam diri anak-anak agar menjadi kebiasaan bagi mengelak gangguan Dasim ketika makan.
3. Apabila sedang marah, seseorang perlu mengucap dua kalimah syahadah, beristighfar serta asingkan diri seketika untuk bertenang selain redakan api kemarahan itu dengan mengambil wuduk dan melakukan solat sunat dua rakaat.
4. Sentiasa berdoa kepada Allah selepas solat untuk minta dijauhkan daripada pengaruh jahat dan bisikan Dasim.
5. Bilik kosong dalam rumah jangan dibiarkan terutamanya yang mempunyai katil dan selimut. Ini kerana jin atau iblis suka menyorok dalam selimut. Rasulullah juga pernah berpesan agar kita ketuk serta libas selimut serta bantal sebelum naik ke atas katil. Selain melakukan solat dan berzikir di dalam bilik yang tidak berpenghuni.
6. Amalkan membaca surah Yasin dan al Quran di dalam rumah serta memberi salam dan berdoa ketika masuk ke dalam rumah iaitu; Assalaamu’alaina wa’ala ‘ibaadillaahissoolihin. (Semoga salam sejahtera tercurah kepada kami dan hamba-hamba-Mu yang soleh).