Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW kerana atas kesungguhan dan perit jerih baginda menyampaikan Islam, maka kita semua dapat merasai nikmat iman dan islam. Begitu besarnya jasa Baginda dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islam.
Sepertimana yang umum ketahui, lahirnya Baginda Nabi Muhammad SAW pada tanggal 12 Rabi’ulawwal di tahun gajah telah membawa seribu satu rahmat ke atas umat Islam. Kelahirannya tersangat dimuliakan oleh Allah SWT sehinggakan beberapa keajaiban telah berlaku sebelum masa kelahirannya lagi. Antaranya :
- Tanah di sekitar kawasan rumah ibu Baginda, Saidatina Aminah yang kering kontang, telah menjadi subur.
- Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk menyampaikan perkhabaran kehamilan ibunya melalui mimpi yang menakjubkan. Beliau bermimpi menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa. Para Malaikat berdiri di hadapan beliau dan mengatakan: ‘Khabar gembira buat kamu, putera kamu ini penolong dan pembebas manusia, maka namakan dia dengan nama Ahmad.’

Kisah keajaiban ini berterusan sehingga pada malam kelahiran mulia itu, berlaku kilat berdentam-dentum memanah syaitan, dan dek kerana berkat kelahiran ini juga akhirnya api sembahan kaum Majusi di Parsi yang telah menyala sejak 1000 tahun lagi, telah terpadam dengan sendirinya dengan takdir Allah SWT.
Peristiwa ajaib ini tidak hanya terhenti di situ sahaja. Apa yang berlaku semasa tempoh kelahiran Baginda adalah ;
- semasa ibu Baginda sedang dalam proses melahirkannya, beliau sendiri melihat cahaya keluar dari tubuh baginda Nabi SAW. Dan dikatakan cahaya tersebut menyinari sehingga ke istana Busra di Syria. Cahaya tersebut juga dapat dilihat walaupun daripada kota-kota yang jauh. Ada sesetengah pendapat mengatakan cahaya itu menerangi seluruh dunia.
- Keadaan baginda ketika keluar dari perut ibunya adalah dalam keadaan mengangkat tangan ke langit seolah-olah sedang berdoa. Baginda SAW juga lahir dalam keadaan sudah berkhatan dan tiada lebihan talipusat.
- Berlaku gegaran di istana Kisra , Parsi sehingga menyebabkan 14 tiang seri istana tersebut runtuh. Keadaan ini merupakan antara tanda-tanda keruntuhan kerajaan tersebut
- Berhala-berhala yang berada di kawasan itu mengalami kerosakan dan kemusnahan. Menurut riwayat daripada Abdul Mutallib , “ Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, ‘Telah lahir Nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui’.
- Dalam waktu yang sama, Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah ditelan bumi. Maka telah lenyap satu lagi pusat sembahan yang dibanggakan.
Kesemua peristiwa yang telah disebutkan tadi adalah bukti betapa Allah memuliakan Nabi Agung kita, Nabi Muhammad SAW sejak sebelum wujudnya Baginda di muka bumi ini. Pelbagai perkara ajaib telah ditunjukkan oleh Allah SWT sebagai tanda tiada kuasa setanding kekuasaanNya. Jika Allah yang Maha Besar sangat memuliakan Nabi Muhammad SAW, apatah lagi kita sebagai umatnya sepatutnya lebih-lebih lagi mengutamakan kecintaan terhadap baginda Nabi SAW.
Jadi, bagaimanakah caranya untuk kita membuktikan cinta kepada baginda SAW? Berikut merupakan beberapa cara bagi menzahirkan rasa cinta kita kepada Baginda SAW :
- Melazimi selawat ke atas junjungan Baginda SAW
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (Sahih Muslim)
- Membaca dan manghayati sirah perjuangan baginda
Salah satu usaha lain bagi menggerakkan cinta kepada junjungan Nabi Muhammad SAW adalah membaca perjalanan hidup baginda, ujian yang ditempuhi sepanjang mengembangkan Islam, cabarannya dan mencontohi kelembutan akhlak baginda dalam mentadbir negara.
Dalam al-Quran jelas ada membentangkan kisah Rasulullah SAW, maka amat mudah sekali bagi sesiapa yang ingin mencapai maklumat mengenai keperibadian Nabi Muhammad SAW selain daripada membaca karya-karya sirah yang turut ada mempersembahkan kisah baginda.
- Mengamalkan Sunnah dan cara hidup Nabi
Cuba mengikuti cara hidup peribadi Nabi, cara Nabi hidup bekeluarga, cara Nabi hidup bermasyarakat, Sunnah dalam bantuk kenegaraan hinggalah kepada ummah.
- Mendampingi para pewaris Nabi
Sentiasa mendampingi dan mendekatkan diri dengan para ‘alim , guru serta para pendakwah kerana mereka adalah golongan yang meneruskan dakwah Nabi SAW secara tidak langsung
Adakah peristiwa ajaib ni hanya terhenti setakat ini? Semestinya tidak , kerana semasa hayat Nabi, terdapat kisah yang sangat tidak masuk akal, tetapi itulah kelebihan yang Allah kurniakan kepada seorang Nabi. Untuk mengetahui kisah ini selanjutnya, pastikan anda ikuti siri selanjutnya.
Wallahu’alam.