Segala puji bagi Allah Tuhan Yang Maha Sempurna yang tidak ada kecacatan bagi-Nya dan keselamatan dan kesejahteraan yang sebaiknya kepada kekasih-Nya Muhammad s.a.w. dan keberkatan yang tercurah kepada ahli keluarga Baginda dan kepada sahabatnya.
Orang yang beriman harus berilmu. Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Hal ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan samada perkara tersebut baik ataupun tidak. Selain itu, Allah SWT mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan berilmu berdasarkan firman-Nya:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]
Berdasarkan firman Allah SWT ini, ia menunjukkan bahawa wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim.
Menurut KH. Rusdiman (2022), setelah seseorang itu berilmu kemudian perlulah diamalkan. Orang yang berilmu wajib mengamalkan ilmunya. Sebaliknya orang yang beramal juga wajib memiliki dasar ilmunya. Dari situ Allah akan menilai siapa yang paling baik amalnya. Sudah tentunya ilmu yang paling baik adalah dengan menggunakan Al-Qur’an dan hadith sebagai dasar sumber ilmu.
Ilmu yang dimaksudkan juga bukan sahaja ilmu agama yang perlu dititikberatkan, malah ilmu akademik juga perlu seiring. Hal ini kerana tanpa ilmu akademik seperti ilmu matematik, sains, bahasa inggeris, bahasa melayu, fizik, kimia, biologi dan banyak lagi tidak membolehkan kita untuk mendapatkan sijil SPM yang melayakkan kita untuk menyambung pengajian yang lebih tinggi seperti Diploma, Degree, Master dan PHD. Ilmu akademik sangat berkait rapat dengan kehidupan kita. Sebagai contoh ilmu matematik digunakan dalam aktiviti seharian kita iaitu mengira duit, ilmu sains pula membolehkan kita mengenal siang dan malam.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Oleh kerana majoriti penduduk Malaysia merupakan muslim, pendekatan Falsafah Pendidikan Islam (FPI) telah diterapkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Falsafah berasal daripada perkataan Latin “Philo” bermaksud “love” atau cinta dan “Sophia” bermaksud “wisdom” kebijaksanaan atau ilmu. Yang demikian Philosophia membawa maksud “cintakan kebijaksanaan”. Kebijaksanaan merupakan aras tertinggi bagi ilmu. Falsafah wujud dalam domain aktiviti/kerja akal. Sumber Barat mencatatkan aktiviti berfalsafah sudah berkembang pada zaman Socrates (470-399 SM), Plato (428-348 SM) dan Aristotles (384-322 SM).
Namun pada tradisi Islam jelas menunjukkan falsafah bukan sesuatu yang asing dan baru. Al-Qur’an merakamkan peristiwa Nabi Allah Ibrahim ‘a.s (1997- 1882 SM) berfalsafah tentang usaha mencari kebenaran dalam mentauhidkan Tuhan (QS al-An‘am: ayat 76 – 79).
Berpegang pada pengertian berfalsafah sebagai memanfaatkan fungsi akal pada tahap tinggi, hal ini juga tidak asing bagi Islam. Dalam bentuk ‘katakerja’ bagi perkataan ‘aql عـقـل)), al-Qur’an sebut: ta‘qilūn ( تعـقـلون ) sebanyak 24 kali, ya‘qilūn (يـعـقـلون ) 22 kali, na‘qilu (نـعـقـل ) 1 kali, ya’qiluha ( يـعـقـلهـا ) 1 kali dan ‘aqalūh ( عـقـلوه ) 1 kali.
Dapat dirumus bahawa ilmu falsafah adalah sebahagian daripada beberapa juzuk korpus ilmu dalam tradisi keilmuan Islam. Perkembangan falsafah hanya diberi perhatian setelah selesai/sempurna bidang fiqh/sharī ‘ah Islam pada abad kedua- hingga awal ketiga Hijrah/ke8-9 Masihi diikuti dengan ilmu Hadīth pada penghujung abad ketiga Hijrah/ke9 Masihi. Sesuudah itu baharulah bidang falsafah berkembang pada abad keempat Hijrah/ke10 Masihi ke atas seperti al-Biruni (973-1052M) Ibn Sina (980-1037M) Ibn Rushd (1126-1198M), al-Ghazali (1056 – 1111M) dan beberapa lagi.
Beberapa Ciri Ilmu Falsafah
Tidak semua aktiviti akliah dianggap falsafah. Bardasakan definisi falsafah sebagai menekuni ilmu (kebijaksanaan), usaha ke arah mendapatkan kebenaran menjadi kriteria utama. Dalam konteks ini, ia melibatkan usaha mempastikan fakta/hakikat menerusi penyelidikan, menjalani proses pemilhan, asosiasi, analisis/kritikan dalaman dan luaran sehingga ke tahap terbentuknya tesis. Daripada huraian umum ini dapat dirumus ciri-ciri falsafah seperti berikut:
- Universal: menyeluruh mencakup seluruh aspek dan segenap ufuk, khususnya dalam menjawab persoalan “mengapa” hendaklah bersifat universal, segala fakta menepati ciri kesahan (validity) dan kebolehercayaan (reliability).
- Jauh jangkauan: befikir secara lateral (di balik kebiasaan). Penjelasan/jawapan dalam multi-levels dan dimensi.
- Radikal: menerobos sampai ke akar umbi (root-cause) dalam mendatangkan jawapan- berfokus dan meyakinkan.
- Meditatif: memaksimumkan keupayaan berfikir secara konsentrasi malah membiarkan fenomena berimajinasi/berteori.
- Analitikal: maklumat atau fakta hendaklah sesuatu yang dapat dianalisis secara akali dan akalbudi.
- Koheren: setiap fakta/maklumat yang didatangkan ada pertautan antara satu sama lain, lengkap melengkapi, serta berurutan.
- Kebijaksanaan: keupayaan melakukan proses penelitian, pengesahan, pemilihan dan penganalisisan serta membuat rukusan sehingga membentuk teori.

Justeru itu, memiliki ilmu itu merupakan satu bekalan bagi setiap muslim. Hukumnya menjadi wajib kerana ilmu menjadi petunjuk jalan agar selamat dunia dan akhirat. Tanpa ilmu agama, sukar bagi muslim untuk melaksanakan ibadahnya dengan benar dan jauh sekali untuk mencapai tahap keimanan.
“Kecantikan yang abadi (iman) terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Bukan terletak pada wajah dan pakaiannya.”