Assalamu ‘alaikum warahmatulahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Al-Quran adalah satu mukjizat yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat islam di muka bumi ini. Ia merupakan sehebat-hebat anugerah yang Allah s.w.t kurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Al-Quran itu mukjizat yang terdapat padanya kebenaran yang abadi lagi hakiki.
Al-Quran merupakan wahyu dan kitab suci yang Allah s.w.t turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui Jibril a.s. Ia adalah kitab yang sesuai pada setiap zaman mahupun generasi. Hingga ke hari ini, Al-Quran sentiasa menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan setiap manusia.
Jadi dengan itu, ada beberapa kelebihan mengaji Al-Quran yang wajib anda tahu sebagai umat Islam. Antaranya ialah:
1) Mendapat pahala
Banyak hadith-hadith yang menjelaskan kelebihan mengaji Al-Quran ini sungguh tinggi dan mulia di sisi Allah s.w.t seperti dalam satu hadith Qudsi di mana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan Al-Quran dan zikir mengingatiku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makhluk-Nya.
Dalam satu hadith lain yang bermaksud :
“Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah s.w.t untuknya.”
Mereka yang menjadikan Al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“ Sesiapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran, maka baginya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (Alif, Lam, Mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. ”
[Riwayat Tirmizi]
2) Dinaikkan darjat
Mereka juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah s.w.t sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin al-‘As :
” Barangsiapa membaca Al-Quran maka mereka akan dinaikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja.”
Muka pembaca Al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t.
3) Menenangkan akal fikiran
Setiap manusia pasti dan pasti tidak akan lari daripada pelbagai masalah kehidupan. Maka, sandarkan segalanya kepada Dia yang mencipta masalah tersebut. Allah s.w.t berfirman :
“ Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.”
[Surah ar-Ra’du : 28]
Sesungguhnya setiap apa yang diuji itu datang daripada Allah s.w.t. Maka kita sebagai manusia mesti mencari ketenangan daripada ujian tersebut dengan mendekatkan diri dengan amalan al-Quran.
4) Mendapat syafaat di hari akhirat
Nabi Muhammad s.w.t sendiri amat menggalakkan umatnya untuk membaca Al-Quran kerana amalan tersebut boleh memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah s.a.w bersabda.
“ Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”
[Riwayat Muslim]
Untuk mendapatkan syafaat tersebut, maka seseorang itu perlulah sentiasa berdamping dan memiliki hati yang terikat kuat dengan Al-Quran. Menjadikan ia sebagai panduan utama dalam hidup dan mengamalkan segala isi kandungannya yang tersirat mahupun tersirat tanpa ada ragu dan syak wasangka dengannya.
Jadi tuan dan puan sekalian, usia bukan penghalang untuk kita terus belajar ilmu Al-Quran. Walaupun sudah dewasa, ia tidak bermakna kita sudah terlambat untuk mempelajarinya. Sebaliknya, ia adalah peluang buat kita untuk belajar mengaji supaya menjadi lebih mahir dan lancar.
Selagi nyawa dikandung badan, maka beramallah sebaiknya untuk membawa bekal di hari akhirat kelak
